Rabu, 31 Disember 2014

Peristiwa: Malaysiaku 2014

Tahun ini merupakan tahun yang amat sukar khususnya buat rakyat Malaysia. Tahun ini juga negara kita digemparkan dengan pelbagai kejadian dan ancaman. Namun, saya yakin bahawa Allah S.W.T. tidak sekali-kali memberikan ujian kepada umat-Nya jika mereka tidak dapat menanggungnya.

Tahun 2014 sepatutnya adalah tahun gemilang buat Malaysia, ini kerana tahun 2014 ini telah diisytiharkan oleh kerajaan sebagai Tahun Melawat Malaysia.

Namun segalanya punah apabila berlakunya misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China. Kehilangan pesawat yang membawa 227 orang penumpang ini yang majoriti rakyat negara China pada 8 Mac 2014 telah memberikan impak besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Sentimen kebencian terhadap Malaysia juga terbentuk akibat hasutan oleh pihak-pihak tertentu samada di Malaysia ataupun di China. Sehingga kini kehilangan pesawat MH370 ini kekal misteri walaupun pelbagai usaha telah digerakkan untuk mencarinya.

Pada 16 Julai 2014, Malaysia dikejutkan sekali lagi dengan peristiwa besar dimana perintah berkurung telah diisytiharkan di Pantai Timur Sabah berikutan pelbagai kes perculikan dan tembak menembak yang berlaku di perairan di sana. Kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu Sabah yang mengorbankan banyak nyawa masih menjadi igauan dan detik hitam dalam sejarah negara.

Sekali lagi syarikat Penerbangan Malaysia menerima impak ekoran serangan pengganas terhadap pesawat Malaysia Airlines MH17 yang telah ditembak jatuh ketika terbang diruang udara Ukraine. Pesawat malang ini yang membawa 283 orang penumpang dan 15 orang anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 diberitakan telah ditembak jatuh dan terhempas di Donetsk Oblast, Ukraine yang bersempadan dengan Rusia. Kesemua penumpang dan anak kapal maut dalam kejadian tersebut dan sehingga kini tidak pihak yang mengaku bertanggungjawab keatas kejadian malang ini.

Dipenghujung tahun 2014, Semenanjung Pantai Timur Malaysia terutamanya di negeri Kelantan menerima kesan banjir besar yang amat luar biasa. Banjir besar ini melumpuhkan serta-merta kehidupan rakyat Kelantan yang terjejas akibat kesan banjir. Banjir besar yang dikatakan berlaku setiap 10 tahun sekali ini merupakan banjir yang terburuk dalam sejarah negara dimana lebih 142,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan melibatkan 317 pusat pemindahan. Statistik banjir di Kelantan setakat 29 Disember 2014, didapati 9 maut dan 4 mangsa banjir hilang dalam kejadian banjir ini. Segala maklumat boleh layari laman sesawang Portal Bencana.

Syarikat penerbangan tambang murah AirAsia juga menerima impak yang sama seperti Penerbangan Malaysia. Pada akhir tahun 2014 ini, kita dikejutkan dengan kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 orang penumpang dan anak kapal dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura. Pesawat jenis Airbus A320-200 ini dilaporkan terputus hubungan dari menara kawalan pada kejadian 28 Disember 2014. Usaha pencarian segera dikerah oleh kerajaan Indonesia sebaik sahaja ia berlaku dan turut mendapat bantuan dari negara Malaysia dan Singapura. Walaupun AirAsia Indonesia bukan dimiliki oleh AirAsia Berhad kerana pegangan saham dalam AirAsia Indonesia majoriti 51% milik PT Indonesia Airasia dan selebihnya milik AirAsia Berhad, namun segala impak juga terkesan terhadap rakyat Malaysia. Ini kerana syarikat penerbangan AirAsia ini diasaskan dan dikembangkan oleh rakyat Malaysia sendiri. Pada 30 Disember 2014, pasukan Badan SAR Nasional (BASARNAS) mengesan beberapa objek terapung dipermukaan laut di Laut Jawa 10 kilometer dari titik akhir lokasi pesawat dikesan radar dan seterusnya penemuan beberapa jasad mayat yang dipercayai mayat penumpang.

©2014, copyright Nur Ellena